BERBUKA PUASA DI RESTORAN PATIN TEMPOYAK CLAYPOT HOUSE

 

BERBUKA PUASA DI RESTORAN PATIN TEMPOYAK CLAYPOT HOUSE

Oleh: Nur Aishah binti Ismail

25 April 2022 – Ikan patin tempoyak yang sememangnya terkenal di Temerloh, Pahang mempunyai keaslian  dan keunikannya yang tersendiri sehingga mampu menarik pelanggan di dalam dan luar negeri untuk merasai masakan ini. Masakan ini yang memang sinonim di negeri tersebut boleh didapatkan di pelbagai restoran dan gerai yang menyediakan hidangan tersebut.



                                                Restoran Patin Tempoyak Claypot House, Krubong

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 


Namun begitu, terdapat sebuah restoran di negeri Melaka yang turut menyediakan ikan patin tempoyak yang rasanya hampir sama dengan masakan di negeri Pahang. Restoran Patin Tempoyak Claypot House yang terletak di Krubong, Melaka ini telah mampu menarik ramai pelanggan untuk merasai masakan ini.

Resipi asli yang berasal dari negeri Pahang ini dimasak oleh anak jati negeri tersebut yang telah membuka sebuah restoran di sini. Menu utama yang disediakan di sini ialah ikan patin tempoyak manakala menu sampingan ialah ikan talapia dan sebagainya. Menu pilihan lain seperti makanan bergoreng ialah ‘sizzling’ dan ‘char kuey tiaw’ juga turut disediakan di sini.

 

 

 



                        Antara menu utama yang disediakan di sini

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 


Selain itu, harga yang ditawarkan bagi set menu di sini adalah sangat berpatutan jika dibandingkan dari restoran lain. Harga yang bermula dari RM 14 ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Bagi set keluarga, harga yang ditawarkan ialah RM 99, namun pada bulan ramadhan ini, ia menyediakan pakej promosi sehingga RM 70. Namun, para pelanggan hendaklah membuat tempahan melalui telefon atau ‘whatsapp’ terlebih dahulu.



                                            Ruangan di tingkat atas yang kondusif

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kapasiti yang boleh menampung sehingga seramai 80 orang ini telah memberikan keselesaan kepada para pelanggan untuk menikmati makanan di dalam dan luar restoran ini. Apa yang menariknya ialah, restoran ini turut menyediakan satu ruangan yang begitu kondusif dan berhawa dingin di tingkat atas khas untuk para pelanggan yang datang ke sini untuk menjamu selera bersama keluarga masing-masing.

“Kemudahan yang kami sediakan seperti tandas dan ruangan solat ada di tingkat atas belah kanan dan pelanggan boleh solat di situ dengan selesa” kata Faizal, pemilik restoran tersebut ketika ditemu bual di sini.

“Saya menyeru kepada penduduk Melaka dan luar Melaka yang gemar akan masakan ikan patin tempoyak untuk hadir ke sini merasai kenikmatan hidangan ini dan tidak perlu ke negeri Pahang lagi untuk mendapatkannya” katanya lagi.

Comments

Popular Posts