PROGRAM SUMBANGAN BERSAMA ‘MTC’

         PROGRAM SUMBANGAN BERSAMA ‘MTC’

    Melaka Truckers Club (MTC) yang merupakan sebuah kelab yang berdaftar telah mengumpulkan pelbagai jenis kenderaan ‘pickup’ yang berjenis 4x4 dan 4x2 di seluruh Melaka. Kelab ini bertujuan bagi menjalankan pelbagai aktiviti amal dan kebajikan serta misi bantuan di dalam dan luar negeri. Mereka menjalinkan persahabatan bersama pemilik kenderaan dan berkongsi idea antara satu sama lain bagi menjalankan aktiviti-aktiviti amal kebajikan tersebut.

    Pada 19 & 20 Mac yang lalu, pihak Melaka Truckers Club (MTC) telah menjalankan sebuah program kebajikan bagi menyampaikan sumbangan yang berbentuk beg sekolah dan alat tulis kepada pelajar-pelajar asnaf dan anak yatim di beberapa buah sekolah dan kediaman mereka. Program ini telah bermula pada jam 9 pagi pada hari Sabtu dan jam 11 pagi pada hari Ahad.


 

 

Pemberian sumbangan beg sekolah kepada pelajar asnaf

 

    Menjelang sesi persekolahan yang bakal tiba, program ini adalah untuk membantu anak-anak yang kurang berkemampuan selain dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa yang juga perlu menanggung yuran persekolahan anak-anak mereka.

    Antara sekolah-sekolah yang terlibat untuk diberikan sumbangan tersebut adalah Sekolah Menengah Seri Bemban, Sekolah Kebangsaan Padang Temu, Sekolah Kebangsaan Tehel dan selainnya. Anggaran pelajar yang terlibat ialah seramai 242 pelajar asnaf dan anak yatim. Selain itu, sumbangan tersebut juga telah disalurkan di Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim di daerah Jasin.

    Anggaran kos perbelanjaan bagi beg sekolah yang disumbangkan adalah sebanyak kira-kira lima hingga enam ribu ringgit. Sumbangan tersebut telah ditaja oleh sebuah syarikat yang diiktiraf bertempat di Malacca International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Namun begitu, alat tulis yang diberikan adalah hasil kutipan sumbangan dari orang ramai yang ingin menyumbang kepada pelajar-pelajar tersebut.


 

 

Kenderaan yang digunakan oleh pihak MTC untuk menyampaikan sumbangan

 

    Selain itu, kuantiti bagi beg sekolah yang disumbangkan adalah sebanyak 348 buah beg manakala set alat tulis pula adalah sebanyak 100 unit. Bilangan ahli jawatankuasa yang terlibat adalah seramai 14 orang dengan masing-masing menaiki kenderaan 4x4 sebanyak tujuh buah yang bergerak secara serentak dan berasingan.

    Program yang dijalankan berjalan dengan lancar pada kedua-dua hari tersebut. Pihak Melaka Truckers Club (MTC) berharap agar sumbangan yang diberikan itu serba sedikit dapat membantu meringankan beban sesebuah keluarga.

Comments

Popular Posts