BUFFET RAMADHAN DI VILLA ISTANA, MELAKA

 

BUFFET RAMADHAN DI VILLA ISTANA, MELAKA

Oleh: Nur Aishah binti Ismail

19 April 2022 – Villa Istana Melaka, sebuah villa yang tersergam indah di Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Bersejarah ini mempunyai keunikan dan suasana yang sangat tenang dan mendamaikan. Dekorasinya yang kelihatan begitu mewah menjadi pilihan para pengunjung untuk mengadakan pelbagai majlis khas dan istimewa seperti majlis perkahwinan, majlis hari jadi, hari keluarga, majlis korporat dan sebagainya.



                                                        Villa Istana, Ayer Keroh, Melaka




                                           Hiasan ala kampung mengikut konsep yang digunakan

“Konsep yang kami gunakan ialah konsep ala kampung dan hiasan lampu yang diterapkan bagi memberi peluang kepada para pelanggan untuk mengambil ‘mood’ berhari raya di kampung setelah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat COVID-19” kata Ammar Hasbullah, Chief Marketing Officer di Villa Istana, Melaka ini.

Menurut beliau juga, ini merupakan tahun ketiga buffet ramadhan ini dianjurkan di villa ini dan mereka menerima sambutan yang sangat menggalakkan. Menu yang disajikan dengan pelbagai jenis masakan kampung seperti kerabu botol, kerabu mangga, masak lemak dan turut disajikan makanan ala kenduri dan masakan antarabangsa seperti masakan Thailand.



                                        Pelbagai juadah disediakan untuk buffet ramadhan


Namun begitu, di sini juga terdapat gerai-gerai yang menyediakan ‘side dish’ atau pencuci mulut yang begitu banyak dan sangat menarik. Bagi pakej harga yang disediakan ialah RM 65 untuk dewasa dan RM 48 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala bagi pakej korporat yang membuat tempahan lebih dari 50 orang, kadar harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding harga biasa.

Siapa sangka villa yang tersergam indah ini mampu memuatkan sehingga 350 orang dalam sesuatu masa. Kawasan luar dewan yang begitu kondusif telah memberi pilihan dan peluang kepada para pelanggan untuk berbuka puasa bersama keluarga atau rakan-rakan mereka.

“Dengan berbaki beberapa hari ramadhan ini, saya menjemput semua penduduk di Melaka dan luar Melaka untuk merasai kenikmatan berbuka di Villa Istana ini” katanya lagi. Tambahan lagi, buffet ramadhan ini juga akan diadakan setiap hari bermula 30 April 2022.

 

Comments

Popular Posts