MISI BANTUAN PASCA BANJIR
MISI BANTUAN PASCA BANJIR
Oleh: Nur Aishah binti Ismail
25 Mac 2022 – Misi bantuan pasca banjir
telah dijalankan di dua buah rumah yang terlibat di Lubok China, Masjid Tanah
pada hari Jumaat yang lalu. Barangan yang disumbangkan oleh komuniti Jamiyah
Singapore telah diagihkan kepada golongan yang benar-benar layak untuk
menerimanya. Selain Melaka, lima buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan,
Pahang, Terengganu dan Kelantan juga ialah antara negeri yang terlibat bagi
menyampaikan sumbangan.
Program penyampaian sumbangan kepada
mangsa-mangsa banjir ini telah dijalankan oleh pihak yang berkaitan sehingga 29
Mac 2022. Program ini juga telah dihadiri oleh Datuk Dr Haji Mohd Jamil Mukmin,
Naib Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang mewakili YB Senator Datuk
Mohd Ridhwan Mohd Ali yang tidak dapat hadir ke program ini disebabkan
mesyuarat yang beliau perlu hadiri.
Program yang bermula jam tiga petang ini telah
mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Jenis sumbangan atau bantuan yang
terdiri daripada barangan elektrik dan barangan keperluan harian seperti dapur
gas, periuk, tilam, susu bayi, pelitup muka dan sebagainya telah diberikan
kepada mangsa-mangsa banjir di kediaman masing-masing. “Sumbangan yang
diberikan ini dianggarkan kira-kira RM 12,600 bagi dua buah rumah mangsa banjir
yang terlibat” kata Naib Presiden DMDI itu.
Antara jenis-jenis barangan yang tiba di rumah mangsa banjir
Selain itu, Datuk Jamil juga memaklumkan
bahawa ada juga terdapat penerima sumbangan yang menghadapi masalah banjir
telah menerima sumbangan sebuah rumah dari PRIMA sebagai rumah penajaan. Bantuan yang
diberikan ini adalah hasil sumbangan dari orang ramai yang telah menderma
kepada misi bantuan ini.
“Air mula naik ke rumah bermula jam 2.30 pagi dari parit
yang mengalir dari sungai di belakang rumah dan ketika itu saya dan keluarga
berada di rumah sedang tidur” kata salah seorang mangsa banjir. Sehingga kini
masih terdapat kesan-kesan banjir yang terdapat di kediamannya.
Keadaan rumah yang masih dalam proses membaikpulih
Namun, rumah mereka masih dalam proses
pengubahsuaian dan membaik pulih akibat banjir yang teruk ini. “Suami dan anak
saya telah panjat ke bumbung sementara menunggu bantuan dan saya ketika itu
berada di kampung yang tidak jauh dari rumah” kata Puan Fauziah, 50. Beliau
menyatakan rasa sedih dan terkilan apabila mendengar berita bahawa suami dan
anaknya berada di atas bumbung rumah mereka akibat paras air yang semakin
meninggi.
Sebagai kesimpulannya, bantuan yang
diberikan ini telah banyak membantu mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban
dan kerugian yang telah mereka alami. Datuk Jamil menzahirkan rasa simpati dan menasihati
agar sumbangan yang diterima itu hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya.
Penerima sumbangan turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada
pihak-pihak yang terlibat.
Comments
Post a Comment